DOA

DOA

Doa menurut bahasa mempunyai pengertian ” Menyeru, Meminta dan Mendakwa “. Adapun menurut istilah “ Berdoa “ mempunyai maksud : “ Memohon atau Meminta sesuatu yang Baik daripada Allah SWT Yang Maha Pemurah dengan menggunakan bahasa yang diperbolehkan dan adab-adab yang baik sesuai dengan ketentuan syarak ”
Dengan demikian tidak diambil kira sebagai Doa sekiranya ada orang yang memohon kepada Allah SWT dengan menggunakan bahasa-bahasa yang bercanggah dengan syarak, contohnya dengan menyeru nama-nama Jin atau nama-nama makhluk. Bagaimanapun adalah diharuskan untuk berdoa dengan apa bahasa pun, asalkan tidak mengandungi unsur-unsur syirik yakni menduakan Allah SWT

SHALAWAT

Shalawat menurut bahasa berarti ” Kesejahteraan “. Menurut istilah ” Shalawat “ adalah ” Mememohonkan Kesejahteraan dan Keselamatan kepada Allah SWT ke atas Junjungan dan Penghulu sekalian makhluk yaitu Nabi Muhammad SAW “.
Biasanya selawat ini juga diiringi ke atas para Keluarga, Sahabat dan seluruh Pengikut Baginda SAW.

DZIKIR

Dzikir menurut bahasa bererti “ Mengingati “. Menurut istilah ” Dzikir “ bermaksud “ Mengingat Allah SWT bilamana dan di mana sahaja berada dengan cara-cara yang dibolehkan oleh syarak seperti menerusi ucapan perbuatan atau dengan hati “.
*****
Dengan demikian sebenarnya antara Doa, Shalawat, Dzikir adalah mempunyai hubungkait yang rapat di antara satu sama lain. Semua itu adalah salah satu bentuk ikhtiar atau usaha manusia agar sentiasa dalam keadaan baik, selamat dan sejahtera di bawah naungan Allah s.w.t. dengan cara-carayang diredhai.
Sesungguhnya Allah s.wt. telah menyuruh hamba-Nya agar memohon sesuatu kepada-Nya. Hal ini dinyatakan dalam beberapa ayat al-quran yang antara lainnya ialah:
” Dan Tuhan kamu berfirman :” Berdoalah kamu kepadaKu nescaya akan Aku perkenankan
doa permohonanmu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong (takabur)
daripada beribadah dan berdoa kepadaKu maka akan Aku masukkan
ke dalam neraka jahannam dalam keadaan hina “
Pada ayat di atas selain Allah s.w.t. sememangnya memerintahkan agar manusia sentiasa berdoa kepadaNya dalam apa jua keadaan, maka ianya juga mencela ke atas orang-orang yang enggan meminta dan berdoa kepadaNya dengan menyifatkan mereka sebagai orang-orang yang sombong. Adalah sangat tepat jika ayat di atas juga dijadikan iktibar sekranya manusia ini menyedari segala kelemahan dan kekurangan dirinya. Seterusnya dijadikan sebagai galakan agar lebih rajin berdoa dan memohon sesuatu kepada Allah SWT.
” Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku,
maka beritahukan kepada mereka :
“ Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (dengan mereka),
Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia sudi berdoa kepadaKu.
Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu
(dengan mematuhi segala perintahKu dan menjauhi sebarang larangan)
dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya meeka menjadi baik serta betul “
Pada ayat di atas Allah s.w.t. memerintahkan agar manusia berdoa dan diikuti dengan seruan beriman kepadaNya. ini menunjukkan bahawasalah satu syarat akan dikabulkan sesuatu doa itu adalah beriman dan meyakini bahawa Allah SWT adalah Zat Yang Maha Mengabulkan doa dan manusia adalah makhluk yang sangat daif dan sentiasa memerlukan bantuan.
Bagaimanapun kerana Allah s.w.t. adalah mempunyai sifat ar-Rahman dan ar-Rahim, yang bermaksud allah s.w.t. Maha Mengasihani seluruh makhluk di dunia dan hanya mengasihi dan merahmati hambaNya yang beriman di akhirat kelak, maka kita dapati ramai manusia yang tidak beriman dan bahkan menjadi musuh Allah s.w.t. juga masih tetap mendapat kasih sayang Allah s.w.t di dunia seperti nikmat sihat dan kekayaan.
“Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar),
Tuhanku tidak menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya.
(Apabila kamu telah mengetahui Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai
seseorang pun melainkan kerana doa ibadahnya)
maka sesungguhnya kamu pun telah menyalahi (ketetapan Tuhanku),
dengan yang demikian sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu)
akan menimpa kamu.”