Kesempurnaan manusia itu terletak dalam Cinta kepada Allah ini. Cinta kepada Allah ini hendaklah menakluki dan menguasai hati manusia itu seluruhnya. Kalau pun tidak dapat seluruhnya, maka sekurang-kurangnya hati itu hendaklah cinta kepada Allah melebihi cinta kepada yang lain.
Sebenarnya mengetahui Cinta Ilahi ini bukanlah satu perkara yang senang sehingga ada satu golongan orang bijak pandai ugama yang langsung menafikan cinta kepada Allah atau Cinta Ilahi itu. Mereka tidak percaya manusia boleh Mencintai Allah Subhanahuwa Taala kerana Allah itu bukanlah sejenis dengan manusia. Kata mereka; maksud Cinta Ilahi itu adalah semata-mata tunduk dan patuh kepada Allah sahaja.
Sebenarnya mereka yang berpendapat demikian itu adalah orang yang tidak tahu apakah hakikatnya ugama itu.
Semua orang Islam bersetuju bahawa cinta kepada Allah (cinta Allah) itu adalah satu tugas. Allah ada berfirman berkenaan dengan orang-orang mukmin;
"Allah Cinta kepada mereka dan mereka Cinta kepada Allah".
Nabi pernah bersabda;
"Belum sempurna imam seseorang itu hingga ia Mencintai Allah dan Rasulnya lebih daripada yang lain".
Apabila malaikat maut datang hendak mengambil nyawa Nabi Ibrahim, Nabi Ibrahim berkata, "Pernahkah engkau melihat sahabat mengambil nyawa sahabat?" Allah berfirman, "Pernahkah engkau melihat sahabat tidak mahu melihat sahabatnya?" Kemudian Nabi Ibrahim berkata, "Wahai Izrail! Ambillah nyawaku!"
Doa ini diajar oleh Nabi kepada sahabatnya;
"Ya Allah, kurniakanlah kepada ku Cinta terhadap Mu dan Cinta kepada mereka yang Mencintai mu, dan apa saja yang membawa aku hampir kepada CintaMu, dan jadikanlah CintaMu itu lebih berharga kepadaku dari air sejuk kepada orang yang dahaga."
Hasan Basri ada berkata;
"Orang yang kenal Allah akan Mencintai Allah, dan orang yang mengenal dunia akan benci kepada dunia itu".
Sekarang marilah kita bincangkan pula berkenaan keadaan cinta itu. Bolehlah ditaarifkan bahawa cinta itu adalah kecenderungan kepada sesuatu yang seronok atau nyaman. Ini nyata sekali pada dari yang lima (pancaindera) iaitu tiap-tiap satunya mencintai apa yang memberi keseronakkan atau kepuasan kepadanya. Mata cinta kepada bentuk-bentuk yang indah. Telinga cinta kepada bunyi-bunyinya yang merdu, dan sebagainya. Inilah jenis cinta yang kita ada dan binatang pun ada.
Tetapi ada dari yang keenam atau keupayaan pandangan yang terletak dalam hati, dan ini tidak ada pada binatang. Dengan melalui inilah kita mengenal keindahan dan keagungan keruhanian. Oleh itu, mereka yang terpengaruh dengan kehendak-kehendak jasmaniah dan kedunian saja tidak dapat mengerti apa yang dimaksudkan oleh Nabi apabila baginda berkata bahawa baginda cinta kepada sembahyang melebihi dari cintanya kepada perempuan dan bau harum wangi, meskipun perempuan dan wangi-wanginya itu disukai juga oleh baginda. Tetapi siapa yang mata batinnya terbuka untuk melihat keindahan dan kesempurnaan Ilahi akan memandang rendah kepada semua perkara-perkara yang zhohir walau bagaimanapun cantiknya sekalipun.
Orang yang memandang zhohir saja akan berkata bahawa kecantikan itu terletak pada warna kulit yang putih dan merah, kaki dan tangan yang eloknya dan lawa bentuknya dan sebagainya lagi, tetapi orang ini buta kepada kecantikan akhlak, seperi apa yang dikatakan orang bahawa seseorang itu mempunyai sifat-sifat akhlak yang "indah". Tetapi bagi mereka yang mempunyai pandangan batin dapat mencintai orang-orang besar yang telah kembali kealam baka, seperti Khalifah Umar dan Abu Bakar misalnya, kerana kedua-dua orang besar ini mempunyai sifat-sifat yang agong dan mulia, meskipun badan mereka telah hancur menjadi tanah. Cinta seperti ini bukan memandang kepada sifat-sifat zhohir sahaja, tetapi memandang kepada sifat-sifat batin. Bahkan apabila kita hendak menimbulkan cinta dalam hati kanak-kanak terhadap seseorang, maka kita tidak memperihalkan keindahan bentuk zhohirnya, dan lain-lain, tetapi kita perihalkan keindahan-keindahan batinnya.
Apabila kita gunakan perinsip ini terhadap cinta kepada Allah, maka kita akan dapati bahawa Dia sajalah sepatutnya kita Cinta. Mereka yang tidak Mencintai Allah itu ialah kerana mereka tidak Mengenal Allah itu. Apa sahaja yang kita cinta kepada seseorang itu, kita cintai kerana itu adalah bayangan Allah. Kerana inilah kita cinta kepada Muhammad (S.W.T.) kerana baginda adalah Rasul dan kekasih Allah; dan cinta kepada orang-orang alim dan orang-orang warak itu adalah sebenarnya cinta kepada Allah.
Kita akan lihat ini lebih jelas jika kita perhatikan apakah sebab-sebabnya yang menyemarakkan cinta.
Sebab pertama ialah, bahawa seseorang itu cinta kepada dirinya sendiri dan menyempurnakan keadaannya sendiri. Ini membawanya secara langsung menuju Cinta kepada Allah, kerana wujudnya dan sifatnya manusia itu adalah semata-mata Kurniaan Allah sahaja. Jika tidaklah kerana kehendak Allah Subhanahuwa Taala dan KemurahanNya, manusia tidak akan zhohir ke alam nyata itu. Kejadian manusia itu dan pencapaian menuju kesempurnaan adalah juga dengan kurnian Allah semata-mata. Sungguh anih jika seseorang itu berlindung ke bawah pokok dari sinaran matahari tetapi tidak berterima kasih kepada pokok itu. Begitu jugalah jika tidaklah kerana Allah, manusia tidak akan wujud dan tidak akan ada mempunyai sifat-sifat langsung. Oleh itu, kenapa manusia itu tidak Cinta kepada Allah? Jika tidak cinta kepada Allah bererti ia tidak mengenalNya. Tanpa mengenalNya orang tidak akan Cinta kepadaNya, kerana Cinta itu timbul dari pengenalan . Orang yang bodoh saja yang tidak mengenal.
Sebab yang kedua ialah, bahawa manusia itu cinta kepada orang yang menolong dan memberi kurniaan kepada dirinya. Pada hakikatnya yang memberi pertolongan dan kurniaan itu hanya Allah sahaja. Sebenarnya apa sahaja pertolongan dan kurnian dari makhluk atau hamba itu adalah dorongan dari Allah Subhanahuwaa Taala jua. Apa sahaja niat hati untuk membuat kebaikan kepada orang lain, sama ada keinginan untuk maju dalam bidang ugama atau untuk mendapatkan nama yang baik; maka Allah itulah pendorong yang menimbulkan niat, keinginan dan usaha untuk mencapai apa yang dicinta itu.
Sebab yang ketiga ialah cinta ang ditimbulkan dengan cara renungan atau tafakur tentang Sifat-sifat Allah, Kuasa dan KebijaksanaanNya. Dan bermula Kekuasaan dan kebijaksanaan manusia itu adalah bayangan yang amat kecil dari Kekuasaan dan Kebijaksanaan Allah Subhanahuwa Taala jua. Cinta ini adalah seperti cinta yang kita rasai terhadap orang-orang besar di zaman lampau, umpama Imam Malik dan Imam Syafie meskipun kita tidak akan menjangka menerima sebarang faedah peribadi dari mereka itu, dan dengan itu adalah jenis yang tidak mencari untung. Allah berfirman kepada Nabi Daud,
"Hamba yang paling aku Cintai ialah mereka yang mencari Aku bukan kerana takut hukumKu atau hendakkan KurniaanKu, tetapi adalah semata-mata kerana Aku ini Tuhan."
Dalam kitab Zabur ada tertulis,
"Siapakah yang lebih melanggar batas daripada orang yang menyembahKu kerana takutkan Neraka atau berkehendakkan Syurga? Jika tidak aku jadikan Surga dan Neraka itu tidakkah Aku ini patut disembah?"
Sebab yang keempat berkenaan cinta ini ialah kerana perkaitan rapat antara manusia dan Tuhan, yang maksudkan oleh Nabi dalam sabdanyal;
"Sesungguhnya Allah jadikan manusia menurut bayanganNya"
Selanjutnya Allah berfirman;
"HambaKu mencari kehampiran denganKu, supaya Aku jadikan dia kawanKu, dan bila Aku jadikan ia kawanku, jadilah Aku telinganya, matanya dan lidahnya".
Allah berfirman juga kepada Nabi Musa;
"Aku sakit, engkau tidak mengungjungiKu." Nabi Musa menjawab, "Aahai Tuhan, Engkau itu Tuhan langit dan bumi, bagaimana engkau boleh sakit?" Allah menjawab, "Seorang hambaKu sakit, kalau engkau mengunjungi dia, maka engkau mengunjungi Aku."
Ini adalah satu perkara yang agak bahaya hendak dikaji berlarutan kerana ia tidak terjangkau oleh pengetahuan orang awam, bahkan yang bijak pandai pun mungkin tumbang dalam perjalanan perkara ini, lalu menganggap ada percantuman atau penjelmaan Tuhan dalam manusia. Tambahan pula perkara kehampiran hamba dengan Tuhan ini dibangkang oleh Alim Ulama' yang tersebut diatas dulu kerana mereka berpendapat bahawa manusia itu tidak dapat mencintai Allah oleh sebab Allah bukan sejenis manusia. Walau pun berapa jauh jaraknya antara mereka, namun manusia boleh mencintai Allah kerana kehampiran itu ada ditunjukkan oleh sabda Nabi
"Allah jadikan manusia menurut rupanya."
Dan kataku pula(suluk), untuk mendapat dan menjejaki maksud sabda Nabi yang penuh dan melimpah dengan lautan hikmah zhohir dan batin ini, perlulah diambil pengajaran dari kalangan ulama yang muqarrabin yang arifbiLlah dari kalangan Aulia Allah yang apabila bercakap, hanya akan mengungkapkan sesuatu yang didatangi dari Alam Tinggi; bukan beralaskan sesuatu kepentingan atau pengaruh hawa nafsunya. Ilmu mereka adalah pencampakkan Ilham dari Allah Taala yang didapati terus dari Allah sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Imam Ghazali dalam karyanya Al-Risalutul lil Duniyyah sebagaimana berikut;
Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang didapati menerusi Ilham dinamakan Ilmu Laduni.
Ilmu Laduni ialah ilmu yang tidak ada perantaraan dalam mendapatkannya di antara jiwa dan Allah Taala. Ia adalah seperti cahaya yang datang dari lampu Qhaib jatuh ke atas Qalbu yang bersih, kosong lagi halus(Lathif).
MEMANDANG ALLAH
Semua orang Islam percaya bahwa memandang Allah itu adalah puncak segala kebahagiaan karena ada tercatat dalam hukum. Tetapi bagi kebanyakan orang, ini adalah berbicara di mulut saja yang tidak menimbulkan rasa dalam hati. Sebenarnyalah begitu karena bagaimana orang dapat menyintai sesuatu jika ia tidak tahu dan tidak kenal? Kita akan coba menunjukkan secara ringkas bagaimana memandang Allah itu puncak segala kebahagiaan yang bisa dicapai oleh manusia. Pertama, tiap-tiap bakat atau anggota manusia itu ada tugas-tugasnya masing-masing dan ia merasa tertarik dan suka menjalankan tugas itu. Ini serupa saja sejak dari kehendak badan yang paling rendah hinggalah kepada pengetahuan akal yang paling tinggi. Usaha mental(otak) yang paling rendah pun mendatangkan ketertarikkan yang lebih dari hanya memuaskan kehendak badan saja. Kadang-kadang seseorang yang khusuk bermain catur tidak mau makan meskipun ia berkali-kali dipanggil untuk makan.
Makin tinggi perkara pengetahuan kita itu, maka makin bertambah menarik dan sukalah kita mengusahakan perkara itu. Misalnya kita lebih berminat untuk mengetahui rahsia Sultan dan rahsia menteri. Dengan demikian, oleh karena Allah itu adalah objek atau perkara pengetahuan yang paling tinggi, maka mengenal atau mengetahui Allah itu mestilah memberi kebahagiaan dan kelazatan lebih daripada yang lain-lain. Orang yang mengetahui dan mengenal Allah walaupun dalam dunia ini. seolah-olah di dalam syurga, "luasnya seperti luas langit" (Al-Qur'an) buah-buahan bebas untuk dipetik, dalam lebarnya tidak disempitkan oleh penghuninya yang ramai itu.
Tetapi kenikmatan ilmu atau pengetahuan masih tidak menyamai atau menyerupai kenikmatan pandangan sebagaimana ketertarikan kita dalam memikirkan mereka yang bercinta adalah lebih rendah daripada ketertarikan yang diberi oleh memandangnya dengan benar. Terpenjaranya kita dalam badan kita dari tanah dan air dan terbelenggu kita dalam perkara-perkara indera(pancaindera) menjadikan hijab yang melindungi kita daripada memandang Allah, meskipun tidak menghalang pencapaian kita kepada mengetahui dan mengenalNya. karena inilah Allah berfirman kepada Nabi Musa di Gunung Sinai;
"Engkau tidak akan dapat melihat aku" (al-Qur'an)
Hakikat perkara ini adalah demikian, yaitu sebagaimana benih manusia itu menjadi manusia, dan biji tamar menjadi pokok tamar, begitu jugalah mengenal Allah yang diperolehi di dunia ini akan bertukar menjadi "Memandang Allah" di akhirat kelak, dan mereka yang tidak mempelajari pengetahuan itu tidak akan mendapat pandangan itu. Pandangan ini tidak akan dibagi-bagikan sama rata kepada mereka yang tahu tetapi "konsep pemahaman" mereka tentangnya akan berbeda-beda sebagaimana ilmu mereka.
Allah itu Satu tetapi ia kelihatan dengan berbagai-bagai cara, sebagaimana satu benda itu terbayang dalam berbagai cara dalam berbagai cermin. Ada yang lurus, ada yang bengkok, ada yang terang dan ada yang gelap. Sesuatu cermin itu mungkin terlalu bengkok dan ini menjadikan bentuk-bentuk yang cantik kelihatan buruk dalam cermin itu. Seseorang manusia itu mungkin membawa ke akhirat hati yang gelap dan bengkok, dan dengan itu pandangan yang menjadi punca kedamaian dan kebahagiaan kepada orang lain, akan menjadi sumber kesengsaraan dan kedukaan kepadanya.
Orang yang Menyintai Allah sepenuh hati dan Cintanya kepada Allah melebihi Cintanya kepada yang lain akan memperolehi lebih banyak kebahagiaan daripada pandangan melebihi daripada mereka yang dalam hatinya tidak ada pandagan ini. Umpama dua orang yang kekuatan matanya sama saja memandang kepada muka yang cantik. Orang yang telah ada cintanya kepada orang yang memiliki muka itu akan merasa tertarik dan bahagia memandang muka itu melebihi dari orang yang tidak ada cintanya kepada orang yang mempunyai muka itu. Untuk kebahagiaan yang sempurna, ilmu saja tidak tidaklah cukup. Ianya hendaklah disertakan dengan Cinta. Cinta kepada Allah itu tidak akan tercapai selagi hati itu tidak dibersihkan daripada cinta kepada dunia. Pembersihan ini dapat dilakukan dengan menahan diri dari hawa nafsu yang rendah dan bersikap zuhud.
Semasa dalam dunia ini, keadaan seseorang itu terhadap "Memandang Allah" adalah ibarat orang yang cinta yang melihat muka orang yang yang dicintai dalam waktu senjakala dan pakaiannya penuh dengan penyengat dan kala yang sentiasa menggigitnya. Tetapi sekiranya matahari terbit dan menunjukkan muka yang dicintai dengan segala keindahannya, dan penyengat serta kala itu telah lari darinya, maka kebahagiaan orang yang cinta itu adalah seperti hamba Allah yang terlepas dari gelap senja dan azab cobaan di dunia ini, lalu melihat dia tanpa hijab lagi.
Abu Sulaiman berkata;
"Siapa yang sibuk dengan dirinya sendiri saja di dunia ini, akan sibuk juga dengan dirinya di akhirat kelak; dan siapa yang sibuk dengan Allah di dunia ini akan sibuk juga dengan Allah di akhirat kelak".
Yahya bin Mu'adz menceritakan;
"Saya lihat Abu Yazid Bustomin sembahyang sepanjang malam. apabila beliau telah habis sembahyang, beliau berdoa dan berkata; "Oh Tuhan!!! Setengah dari hambaMu meminta padaMu kuasa untuk membuat sesuatu yang luar biasa(karamat) seperti berjalan di atas air, terbang di udara; tetapi aku tidak meminta itu; ada pula yang meminta harta karun, tetapi aku tidak meminta itu; kemudian ia memalingkan mukanya dan setelah dilihatnya saya, ia berkata; "Kamu di situ Yahya?" Saya menjawab; "Ya!" Beliau bertanya lagi; "Sejak bila?" Saya menjawab; "Telah lama saya di sini" Kemudian saya bertanya dan beliau menceritakan kepada saya setengah daripada pengalaman keruhaniannya.
"Saya akan menceritakan" Jawab beliau. "Apa yang boleh saya ceritakan kepadamu, Allah Subhahahuwa Taala menunjukkan aku kerajaanNya dari yang paling tinggi hingga ke paling rendah. DiangkatNya saya melampaui Arash dan Kursi dan tujuh petala langitnya, kemudian Ia(Allah) berkata; "Pintalah kepadaKu apa saja yang engkau kehendaki". Saya menjawab; "Ya Allah!!! tidak akan saya minta apa pun melainkan Engkau". JawabNya(Allah); "Sesungguhnya engkau hambaKu yang sebenar".
Pada suatu ketika pula Abu Yazid berkata;
"Sekiranya Allah mengurniakan engkau kehampiran denganNya seperti Ibrahim, kekuasaan Sholat Musa, keruhanian 'Isa, namun wajahmu hadapkanlah kepada Dia saja karena ia ada harta yang melampaui segala-galanya itu"
Suatu hari seorang sahabatnya berkata kepada beliau; "Selama tiga puluh tahun saya puasa di siang hari dan sembahyang di malam hari tetapi saya tidak dapati kelazatan keruhanian yang engkau katakan itu".
Abu Yazid menjawab; "Jika engkau puasa dan sembahyang selama tiga ratus tahun pun, engkau tidak akan mendapatkannya".
Sahabatnnya berkata; "Bagaimanakah itu?"
Kata Abu Yazid; "obatnya ada tetapi engkau tidak akan sanggup menelannya obat itu". Tetapi oleh karena sahabatna itu bersungguh-sungguh benar memminta supaya diceritakan, Abu Yazid pun berkata; "Pergilah kepada tukang gunting dan cukurlah janggutmu itu; buangkan pakaianmu itu kecuali seluar dalam saja. Ambil satu kampit penuh yang berisi "Siapa yang mahu menempeleng kuduk leherku dia akan mendapat buah ini" Kemudian dalam keadaan ini pergilah kepada Kadi dan ahli syariat dan berkata; "Berkatilah Ruhku".
Kata sahabatnya; "Tidak sanggup saya berbuat demikian, berilah saya cara yang lain".
Abu Yazid pun berkata; "Inilah saja caranya, tetapi seperti yang telah saya katakan kamu ini tidak dapat diobat lagi".
Sebab Abu Yazid berkata demikian kepada orang itu ialah karena orang itu sebenarnya pencari pangkat dan kedudukan. Bercita-cita hendak pangkat dan kedudukan seperti bersikap sombong dan bangga adalah penyakit yang hanya dapat diobat dengan cara yang demikian itu.
Allah berfirman kepada Nabi 'Isa;
"Wahai 'Isa! Apabila Aku lihat dalam hati hambaKu cinta suci murni kepadaKu tanpa dicampur aduk dengan kepentingan diri sendiri terhadap perkara dunia atau akhirat, maka Aku menjadi Penjaga kepada Cinta itu".
Apabila orang bertanya kepada Nabi 'Isa; "Apakah kerja yang paling tinggi sekali darjatnya?" Beliau menjawab; "Mencintai Allah dan tunduk kepadaNya".
Suatu ketika orang bertanya kepada Wali Allah bernama Rabi'atul Adawiyah sama ada beliau cinta kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau menjawab; "Cinta kepada Allah menghalang aku cinta kepada makhluk".
Ibrahim bin Adham dalam doanya berkata; "Ya Allah! pada mataku syurga itu sendiri lebih kecil dari agas jika dibandingkan dengan Cintaku terhadapMu dan kelazatan mengingatiMu yang Engkau telah kurniakan kepadaku".
Siapa yang menganggap ada kemungkinan menikmati kebahagiaan di akhirat tanpa mencintai Allah adalah orang yang telah jauh sesat anggapannya, karena segala-galanya di akhirat itu adalah kembali kepada Allah dan Allah itulah matlamat yang dituju dan dicapai setelah melalui halangan yang tidak terhingga banyaknya. Nikmat memandang Allah itu adalah kebahagiaan. Jika seseorang itu tidak suka kepada Allah di sini, maka di sana pun ia tidak suka juga kepada Allah. Jika sedikit saja sukanya kepada Allah di sini, maka sedikit jugalah sukanya kepada Allah di sana. Pendeknya, kebahagiaan kita di akhirat adalah bersesuaian dengan kadar Cintanya kita kepada Allah di dunia ini.
Sebaliknya jika dalam hati manusia itu ada tumbuh cinta kepada apa saja yang berlawanan dengan Allah, maka keadaan hidup di akhirat sana akan berlainan dan ganjil sekali kepadanya dan dengan ini apa saja yang mendatangkan kebahagiaan kepada orang lain, akan mendatangkan 'azab sengsara kepadanya. Mudah-mudahan Allah lindungi kita dari terjadi sedemikian itu.
Ini bolehlah kita gambarkan dengan misalan seperti berikut;
Seorang pengangkut sampat-sarap pergi ke kedai yang menjual minyak wangi. Apabila beliau membawa bau-bauan yang harum wangi itu, ia pun jatuh dan tidak sadar diri. Orang pun datang hendak memberi pertolongan kepadanya. Air Ros dipercikkan kemukanya dan dihidungnya diletakkan kasturi. Tetapi beliau bertambah teruk. Akhirnya datanglah seorang pengangkut sampah juga, lalu diletakkan sedikit sampah kotor di bawah hidung orang yang pengsan itu. Dengan segera orang itu pun sadar semula sambil berseru dengan rasa puas hati, "Wah! Inilah sebenarnya wangi!"
Demikian jugalah, ahli dunia tidak akan menjumpai lagi karat dan kotor dunia ini diakhirat. Kelazatan keruhaniah alam sana berlainan sekali dan tidak sesuai dengan kehendaknya. Maka ini menjadikannya bertambah teruk dan sengsara lagi. karena alam sana itu adalah alam ruhaniah dan penzhohiran Jamal (keindahan) Allah Subhanahuwa Taala. Berbahagialah mereka yang ingin mencapai kebahagiaan di sana itu dan menyesuaikan dirinya dengan alam itu. Semua sikap zahud, menahan diri ibadah, menuntut ilmu adalah bertujuan untuk mencapai penyesuaian itu dan penyesuaian itu adalah cintanya. Inilah maksud Al-Quran:
"Berbahagialah orang yang mencucikan jiwanya".
Dosa dan maksiat berlawanan benar dengan penyesuaian ini. Oleh itulah termaktub dalam Al-Quran: "Sesungguhnya rugilah orang yang mengotori jiwanya." Orang yang dikurniai dengan mata keruhanian telah nampak hakikat ini dalam rasa pengalaman mereka bukan hanya kata-kata yang diterima turun-menurun sejak dahulu lagi. Pandangan mereka itu membawa kepercayaan bahwa orang yang berkata demikian adalah sebenarnya Nabi; ibarat orang yang mengkaji ilmu perobatan; akan tahu adakah orang yang bercakap berkenaan perobatan itu sebenarnya doktor atau pun bukan. Ini adalah jenis keyakinan yang tidak perlu disokong dengan mukjizat atau perbuatan yang mencarik adat karena yang demikian pun dapat dilakukan juga oleh tukang sihir atau tukang silap mata.